LEWIS Hamilton mengaku berbohong berhubung insiden yang melibatkan dia dan pemandu Toyota, Jarno Trulli pada Grand Prix Australia, minggu lalu selepas diminta berbuat demikian oleh Dave Ryan
SEPANG – Dalam keadaan yang cukup sebak, juara dunia, Lewis Hamilton meminta maaf secara terbuka kerana berbohong berhubung insiden yang melibatkan dia dan pemandu Toyota, Jarno Trulli pada Grand Prix Australia, minggu lalu.
Pemandu pasukan McLaren itu menyifatkan ia sebagai perkara paling buruk pernah terjadi dalam hidupnya dan kesal dengan perbuatan itu, apatah lagi ia telah menyebabkan dia dan pasukannya, McLaren-Mercedes disingkir daripada perlumbaan di Melbourne.
Kata Hamilton, ini adalah kesilapan terbesar yang pernah dilakukan dan meminta maaf kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pasukan, keluarga, steward serta para peminatnya kerana melakukan perbuatan yang dianggap amat memalukan.
“Saya berbohong,” katanya dengan nada sebak pada sidang akhbar khas yang diadakan di Litar Sepang, semalam.
Tegas Hamilton, dia bukan mahu membohong tetapi dipaksa berbuat demikian kerana kepentingan pasukan.
“Saya bukan pembohong dan saya juga bukan orang paling jujur di dunia tetapi saya cuma pemain dalam pasukan ini. Saya diarahkan supaya menipu steward dan saya perlu mengikut arahan.
“
Setiap kali diberi arahan, saya akan mengikutinya tetapi apa yang saya lakukan kali ini merupakan kesilapan amat besar. Ia benar-benar satu kesilapan dan saya sangat kesal,” ujar Hamilton.
Bagaimanapun Hamilton berjanji tidak akan mengulangi apa yang berlaku dan mahu melupakan episod malang itu.
Pada perlumbaan di Melbourne minggu lalu, dia memberitahu steward bahawa Trulli telah memintasnya ketika kereta keselamatan masih berada di atas trek, sedangkan hakikatnya dia yang membenarkan pemandu Itali itu melepasinya kerana menghadapi sedikit masalah dengan kereta.
Walaupun pasukan Toyota tidak mengemukakan rayuan, namun steward telah menemui elemen baru daripada siasatan insiden tersebut, iaitu rakaman perbualan radio pasukan McLaren dan Toyota yang mengesahkan bahawa Hamilton membenarkan Trulli melepasinya.
“Kami mengharungi perlumbaan yang hebat di Melbourne, malangnya perkara seperti ini berlaku. Sebaik saya keluar daripada kereta, saya ditemubual oleh televisyen di belakang garaj dan saya serta merta memberitahu mereka apa yang berlaku ketika perlumbaan.
“Tidak lama selepas itu, kami diarahkan oleh steward untuk menerangkan perkara sebenar. Ketika sedang menunggu kehadiran steward saya diarahkan oleh pengurus pasukan saya (Dave Ryan) supaya memberitahu maklumat yang salah dan itulah yang telah saya lakukan.
“Saya minta maaf secara jujur kepada steward kerana membuang masa mereka dan seolah-olah mahu mempermainkan mereka. Saya amat... amat meminta maaf dengan situasi ini, malah saya juga minta maaf kepada Dave kerana dia sudah lama bersama pasukan, dia seorang yang baik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pasukan McLaren bertindak drastik menggantung Ryan semalam ekoran isu tersebut.
Prinsipal McLaren, Martin Whitmarsh berkata, Ryan membantu Hamilton memberi maklumat yang tidak betul dengan memberitahu steward bahawa Trulli telah memintasnya ketika kereta keselamatan masih berada di atas trek.
“Sudah 20 tahun saya mengenali Dave dan amat berat untuk kami mengambil keputusan ini tetapi sesuatu yang tidak betul telah berlaku dan kami kena bertindak terhadapnya,” kata Whitmarsh pada sidang akhbar semalam
0 ulasan:
Post a Comment