
LONDON 26 April - Hartawan industri keluli, Lakshmi Mittal kini mendahului senarai jutawan yang mengalami kerugian akibat masalah ekonomi dunia dengan kekayaan yang menyusut sebanyak 61 peratus.
Ketika bilangan jutawan di United Kingdom (UK) berkurangan lebih 40 peratus dari 75 kepada 43 orang dalam masa setahun, Mittal kerugian 17 bilion pound (RM89.9 bilion), demikian menurut laporan akhbar Sunday Times dalam satu tinjauan pendapat tahunannya semalam.
Sunday Times Rich List 2009 menunjukkan, 1,000 rakyat terkaya UK kehilangan aset berjumlah 155 bilion pound (RM819.4 bilion) tahun lalu dan yang paling banyak terjejas adalah ahli perniagaan seperti Mittal.
Bagaimanapun, Mittal kekal sebagai lelaki terkaya UK dengan anggaran aset 10.8 bilion pound (RM57 bilion).
Pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich yang turut mempunyai pelaburan dalam industri keluli dan bidang lain, kekal di tangga kedua dengan kekayaan 7 bilion pound (RM37 bilion).
Jutawan kelahiran Britain, Duke of Westminster juga kekal di tempat ketiga dengan pemilikan hartanah bernilai 6.5 bilion pound (RM34.4 bilion).
Kemelesetan ekonomi bagaimana tidak semestinya menyebabkan kerugian.
Pemilik Harrods, Mohamed al-Fayed telah berjaya meningkatkan nilai asetnya sebanyak 17 peratus kepada 650 juta pound (RM3.4 bilion).
Presiden pasar raya Morrison, Ken Morrison pula bertambah kaya sebanyak 11 peratus dengan 1.6 bilion pound (RM8.5 bilion).
Perjudian dalam talian juga mencatatkan keuntungan dengan pemilik laman web perjudian sukan Bet365, Peter dan Denise Coates mencatat pertumbuhan aset sebanyak 33 peratus kepada 400 juta pound (RM2.1 bilion).
Secara keseluruhannya, kesemua 1,000 orang yang tersenarai mengalami purata kehilangan aset sebanyak 37 peratus. Jumlah aset yang dimiliki mereka tinggal 258 bilion pound (RM1.4 bilion) berbanding 413 bilion (RM2.2 bilion) pada tahun lalu.
Senarai tahunan itu dibuat berdasarkan kekayaan yang dimiliki termasuk tanah, harta dan barangan lain seperti hasil seni, kuda lumba dan pegangan dalam beberapa syarikat, namun ia tidak melibatkan akaun bank.
ellys Story
Mittal dahului senarai jutawan rugi
Dicatat oleh Elly Collection di 10:18 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment