
Lagu Malaysia Satu ciptaan Audi Mok dan dinyanyikan Faizal Tahir dipilih menerusi undian rakyat Malaysia sebagai pemenang pertandingan Pencarian Lagu 1Malaysia, menewaskan sembilan finalis lain.
Kemenangan lagu berkenaan berirama rancak dengan lirik nukilan Nur Fatima Abd Wahab, membolehkan mereka meraih hadiah RM25,000. Keputusan pertandingan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Jabatan Perdana Menteri, semalam.
Bercakap pada sidang media selepas itu, Najib berkata, beliau menerima lagu Malaysia Satu yang mendapat 30.77 peratus undian menewaskan semua lagu lain berikutan lagu itu adalah pilihan rakyat.
“Saya terima dengan baik keputusan ditentukan rakyat Malaysia sendiri. Nampaknya mereka memilih satu lagu rancak, bersemangat dan iramanya sesuai dengan generasi muda,” katanya.
Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar
Pertandingan yang dimulakan bulan lalu dan disiarkan menerusi stesen radio Hotfm itu menyaksikan 10 lagu dipilih ke peringkat akhir daripada lebih 350 penyertaan yang diterima.
Mengenai ada dua lagu bertema 1Malaysia, iaitu satu dihasilkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Najib berkata, tidak ada masalah akan timbul, malah kedua-dua lagu boleh digunakan dalam majlis rasmi.
“Mungkin kita boleh ubah suai jika nak nyanyikan lagu ini (Malaysia Satu) secara koir kerana nadanya sangat tinggi. Lagu yang dihasilkan RTM senang dinyanyikan secara koir,” katanya.
Najib juga berkata, beliau menghabiskan kira-kira sejam mendengar semua 10 lagu itu pada Sabtu lalu, di pejabatnya.
Sementara itu, Mok pada sidang media berasingan berkata, lagu itu dicipta dalam tempoh dua jam.
“Saya tidak menyangka lagu ini akan menang, kerana ketika mencipta, saya sedang sibuk dengan pembikinan album kedua Faizal,” katanya.
Sementara itu, Yayasan 1Malaysia melancarkan program ‘Kisah 1Malaysiaku’ bagi memberi peluang kepada rakyat menghantar pandangan dan interpretasi terhadap konsep 1Malaysia di laman webnya di http://www.1malaysia.org.my/.
Ketua Pegawai Eksekutif yayasan berkenaan, Noorhaina Hirawani Mohd Noor, berkata inisiatif dalam talian itu bagi membolehkan rakyat berkongsi pendapat melalui saluran betul.
“Rakyat memberikan pelbagai pendapat dalam cara berbeza terhadap konsep 1Malaysia ketika ia diperkenalkan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Untuk maklumat lanjut dan garis panduan penyertaan, lawati seksyen Komuniti 1Malaysia di www.1malaysia.org.my atau hubungi 03-6203 9313.
“Kami berasa penting bagi mereka berkongsi pendapat dengan rakyat yang lain supaya dapat memupuk perpaduan nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Pelawat laman web berkenaan boleh melihat segala pandangan yang disiarkan dan digalak memberi komen mereka. Mereka juga boleh menghantar respons dalam bentuk rencana, video atau pun foto.
Yayasan berharap usaha ini akan mendorong dialog yang berterusan di kalangan rakyat Malaysia berdasarkan pemikiran dan pendapat seterusnya membantu memupuk perpaduan nasional.
Norhaina berkata, pihaknya amat menghargai perbezaan pendapat di kalangan rakyat negara ini, selagi ia dilakukan secara terhormat dan dengan keterbukaan terhadap pandangan pihak lain.
“Dengan peningkatan penyertaan rakyat Malaysia dalam aktiviti ini, pihak kami akan lebih maklum apa yang menjadi keutamaan kepada masyarakat umum berhubung kedudukan perpaduan nasional,” katanya.
Untuk maklumat lebih lanjut dan garis panduan penyertaan, lawati seksyen Komuniti 1Malaysia di www.1malaysia.org.my atau hubungi 03-6203 9313
0 ulasan:
Post a Comment