
Bagaikan bintang filem seperti ibunya apabila tidak banyak kerenah ketika 'muncul' kali pertama di depan media
TIDAK perlu lagi meneka bagaimana rupa paras puteri sulung bintang filem Melayu, Erra Fazira apakah dia secantik ibunya atau mewarisi ketampanan bapanya, Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Seperti dijanjikan ketika melahirkan Engku Aleesya pada 30 Mac lalu untuk mendedahkan wajah puterinya serentak kepada semua media cetak dan elektronik, Sabtu lalu (23 Mei) Erra mengotakan janjinya.
Menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Erra dan Emran menghantar undangan ke majlis aqiqah dan cukur jambul Aleesya kepada semua teman media, sekali gus mendedahkan wajah bayi comel mereka buat pertama kalinya kepada umum.
Sekali lagi pasangan itu memilih Restoran Puteri, Sungai Penchala, tempat di mana mereka diijabkabulkan hampir dua tahun lalu untuk upacara berkenaan. Memilih konsep merah jambu dan putih, majlis cukur jambul itu dihias cantik hasil sentuhan Lynda Rahim, manakala gaun Aleesya, kek cawan serta cenderahati untuk tetamu pula ditaja Cradle 'N' All.
Sebaik kaki melangkah meniti tangga restoran yang cerun, wajah comel Aleesya terpampang di sebuah bingkai gambar besar menyambut ketibaan tetamu. Di depan pintu restoran, dua buah lagi bingkai di letakkan di kiri dan kanan. Kali ini, Aleesya berada disamping ayah dan ibunya.

Sebelum wajah Aleesya didedahkan, majlis terlebih dulu dimulakan dengan upacara pembacaan doa dan puji-pujian ke atas junjungan-Nya oleh kumpulan marhaban Sautul Ijtihad. Apabila marhaban hampir bermula, Erra yang kelihatan menawan dengan jubah dari rona merah jambu mendukung si kecil yang menjadi bualan hangat itu memasuki buaian yang turut dihias cantik.
Pancaran cahaya kamera tidak henti-henti memancar Erra dan bayinya ketika kakinya melangkah untuk ke buaian, masing-masing tidak mahu terlepas merakamkan gambar terbaik puteri kesayangan Erra dan Emran itu.
Seakan mengetahui status ibunya sebagai 'public figure', si kecil itu tidak langsung meragam. Malah acara sidang media langsung tidak terganggu oleh rengekan Aleesya.

ANAK kecil ini tidak banyak meragam sepanjang acara diadakan
Bercerita mengenai persiapan majlis itu, kata Erra dia menerima tawaran daripada Lynda Rahim dan Cradle 'N' All sejak Aleesya masih berada dalam kandungan lagi. Selepas persetujuan antara ketiga-tiga pihak, barulah konsep majlis itu dirancang.
0 ulasan:
Post a Comment