
PEMIMPIN lama dan baru UMNO pada sesi bergambar di Dataran Putra, Pusat Dagangan Dunia Putra semalam sebelum menyambung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2008.Perhimpunan mulai Selasa lepas dan berakhir hari ini disertai 4,885 perwakilan iaitu 2,509 perwakilan pada Perhimpunan Agung, Wanita (796), Pemuda (791) dan Puteri (789).Perhimpunan itu juga menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan baru parti yang kini diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.
Timbalan Presiden UMNO yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai jentera dan kempen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi tiga pilihan raya kecil iaitu Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Batang Air pada 7 April ini.
Menurut Muhyiddin, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memaklumkan kepada beliau tentang tugas berkenaan dalam satu pertemuan antara beliau dan tiga Naib Presiden parti malam tadi.
Sambil mengakui ia merupakan satu tanggungjawab yang amat berat, beliau berkata, amanah itu akan dilaksanakannya dengan sebaik mungkin.
''Selepas menang saya telah menemui Najib bersama dengan tiga Naib Presiden. Beliau kemudian meminta saya mengambil alih peranan sebagai ketua untuk tiga pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.
''Kita akan turun ke bawah bagi membantu jentera pilihan raya dan tiga Naib Presiden terbabit telah pun diberi tugas untuk menjaga kawasan pilihan raya masing-masing. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diarah ke Bukit Gantang, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Bukit Selambau dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Batang Air)," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Bangladesh, Dr. Dipu Moni di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, untuk tiga pilihan raya kecil kali ini, BN akan memberi penjelasan berhubung beberapa isu khusus yang berlaku di tiga kawasan pilihan raya berkenaan.
Sebagai contoh katanya, isu yang perlu dijelaskan di Parlimen Bukit Gantang ialah mengenai kesahihan kerajaan BN di negeri itu.
Selain penjelasan katanya, BN juga akan mengemukakan mesej-mesej tertentu agar pengundi di tiga kawasan terbabit mengetahui dengan jelas mengenai visi dan wawasan parti pemerintah.
''Saya akui ini bukan satu kerja mudah dan saya perlu pragmatik dalam perkara ini. BN kini masih dilihat sebagai sebuah parti yang tidak banyak berubah. Sejak setahun kita memerintah, perubahan ketara masih belum berlaku. Kita dilihat lambat bergerak.
''Oleh itu perubahan perlu dilakukan di dalam pilihan raya kecil kali ini. Kita perlu menunjukkan pandangan pertama yang baik di mata rakyat. Kita perlu membuktikan yang kita merupakan pasukan yang boleh melakukan kerja," katanya.
0 ulasan:
Post a Comment